Selasa, 26 Ogos 2008

Filem Noir - Part 1

PENGENALAN
Filem Noir, Sejarah Awalnya dan Ciri-ciri.

Apabila menyentuh mengenai filem noir,pasti nama-nama seperti Orson Welles, Robert Mitchum, dan Carol Reed akan terbit di bibir para peminat serta pengkaji filem. Mereka merupakan nama-nama besar yang telah mewarnai dunia perfileman klasik global khususnya dalam genre filem noir. Karya-karya mereka kini menjadi rujukan serta kajian generasi filem era baru. Tidak kurang juga yang menjadikan karyawan-karyawan hebat ini sebagai sumber inspirasi mahupun idola di dalam cara mereka berkarya. Nama-nama lain yang turut bersinar sebagai pengarah filem noir moden termasuklah Francis Ford Coppolla.

Sejarah filem noir bermula kira-kira 60 tahun dahulu iaitu selepas perang dunia kedua tercetus. Masyarakat era moden yang bergelumang dengan korupsi, jenayah, seks dan menjadi ilham para karyawan ketika itu mengadaptasi ke dalam bentuk karya seni. Term filem noir mula di gunakan di Hollywood oleh pengkritik filem Perancis, Frank Nino dalam tahun 1946 yang di ambil dari perkataan Perancis yang bermaksud filem gelap atau black film. Filem noir klasik Hollywood secara umumnya bermula pada awal 1940-an hingga hujung 1950-an. Teknik chroriscuro dan low-key lighting dalam sinematografinya sering di kaitkan dengan filem noir. Penataan cahaya yang menampakkan bayang-bayang gelap dan sebahagian lain terang memberikan makna tersendiri iaitu keadaan hipokrasi dan korupsi masyarakat ketika itu. Masyarakat ketandusan nilai moral, bergelumang dengan jenayah dan seks serta korupsi yang berleluasa pula menjadi latar dan tema penceritaan. Babak-babak malam dan kawasan bandar menjadi latar utama dalam filem. Dari aspek editing, filem noir lebih cenderung pada down-beat editing. Ciri-ciri seperti ini jelas dalam filem Citizen Kane(1941), Murder, My Sweet(1944), The Third Man(1949) dan Touch of Evil(1958).


Watak dan Aspek Lakonan dalam Filem Noir.

Watak-watak di dalam filem juga sering di kaitkan dengan kegelapan dan bermasalah moral. Watak utama lelaki biasanya dalam keadaan yang tidak tentu arah dan mengalami pelbagai masalah dalam dirinya. Perkara ini akan mengakibatkan watak mengalami “claustrophobia” yang setusnya membawa kepada situasi pesimis, tegang dan muram. Kita seringkali akan dapat melihat watak berdasar dalam keadaan gelap, dan sebahagian lain terang. Ini juga memberi pentanda mengenai kekaburan nilai moralnya. “Femme fatale” atau watak utama wanita dalam filem noir pula berperanan mengerakkan jalan cerita dan biasanya berungsi memanupulasi watak lelaki sebagaimana watak Susan Vargas dalam Touch of Evil. Beliau merupakan seorang yang bijak, dominant dan berkuasa atas seksualitinya. Watak-watak dalam filem noir lebih realistik sifatnya kerana ia selalu merupakan manusia yang tidak terlalu baik dan tidak pula terlalu jahat.

Aspek lakonan amat penting dalam filem noir kerana berhubungkait dengan perwatakan yang agak berlainan dengan genre filem lain. Pewatakan gelap dan moral yang rendah mencorakkan filem noir dengan kehidupan watak yang hidup dalam dunia yang penuh korupsi. Menerusi watak Orson Welles dalam Touch of Evil, sebagai Hank Quinlan. Watak ini sangat mencabar dan memerlukan skil lakonan yang baik dengan gerak tubuh dan memek muka yang sesuai. Watak seorang kapten Polis Texas yang tua dan bengis ini di bawa dengan baik sekali oleh Orson Welles yang juga bertindak sebagai pengarah filem ini.

LENSA LURU (ZOOM LENS) -Part 2

4. REKABENTUK LENSA LURU
Terdapat pelbagai reka bentuk untuk kanta luru. Namun, reka bentuk asas sesebuah lensa luru kebiasaannya terdiri daripada tiga kanta iaitu dua kanta cembung dan dua kanta cengkung. Dua lensa positif(cembung) diletakkan dihadapan dan dibelakang lensa negatif(cengkung). Dua lensa itu mempunyai jarak fokal yang sama manakala lensa negatif tidak. Lensa negatif itu mempunyai jarak fokal yang multak; bawah dari separuh jarak fokal lensa positif.



Lensa 3 melekat pada tempatnya tetapi lensa 1 dan lensa 3 boleh bergerak kedepan dan ke belakang. Ia boleh bergerak kerana terdapat sususan kompleks gear dan pengerak ulang-alik yang terbina dalam gegelung lensa. Kini, terdapat sesetengah lensa luru yang berteknologi tinggi yang menggunakan komputer dalm mengerakkan lensa-lensa itu.

Sebagai lensa negatif, lensa 2 bergerak dari belakang ke depan manakala lensa 1 dari depan ke belakang dalam lengkungan parabola . Dengan kata lain, pembesaran bersudut dalm sistem bervariasi ini menjadikan perubahan jarak fokal menjadi lebih efektif.

Namun, masalah utama dalam rekabentuk kanta luru adalah membuat pembetulan optik melalui keseluruhan operasi jarak dalam lensa. Ia tidak dapat membetulkan ralat optik dengan tepat kerana jarak fokal yang sering berubah-ubah berbanding lensa prima yang dapat membetulkan ralat optik dengan tepat. Lensa prima dapat melakukan ralat optik dengn tepat kerana ia hanya mempunyai satu jarak fokal yang tetap. Masalah inilah juga menyebabkan lensa luru bertindak lambat untuk mendapatkan fokus dan hanya mempunyai julat f-number yang sempit. Hal ini sudah disedari sejak awal penciptaannya dan kini teknologi dan teknik telah di cipta untuk menyelesaikan masalah ini termasuklah teknologi auto-focus yang memberikan fokus pada setiap jarak fokal dalam kanta luru. Selain itu, teknik focus pulling juga boleh menyelesaikan masalah ini.


5. JARAK FOKAL, BIDANG JARAK DAN LENSA LURU
Jarak fokal merupakan jarak yang di ukur dari lensa ke CCD. Imej akan kelihatan dekat dan jauh adalah kerana jarak fokal berubah apabila jarak lensa dan CCD berubah. Sebagaimana yang kita tahu, luru paling dalam memberikan jarak fokal paling pendek dan luru luar memberikan jarak fokal paling panjang. Jarak fokal yang panjang akan menjadikan bidang jarak kelihatan sempit. Bidang jarak(depth of field) adalah jarak antara objek-objek yang berada dalam bingkai. Terdapat tiga kedudukan asas iaitu foreground, middleground dan background. Panjang jarak antara kedudukan tersebut akan memberikan bidang jarak yang sempit atau luas.

Dalam videografi, jarak fokal dan bidang jarak akan berubah dalam pelbagai kedudukan kamera dan kedudukan serta pergerakan subjek yang ingin di rakam. Jadi, lensa luru bertindak sebagai mempermudahkan kerja jurukamera untuk mendapatkan imej yang cantik dalam pelbagai jarak fokal mahupun bidang jarak.


LURU OPTIKAL DAN LURU DIGITAL
Terdapat dua jenis luru yang ada kini, iaitu optikal dan digital. Luru optikal adalah luru yang menggunakan lensa manakala luru digital adalah luru secara interpolasi sofwer. Imej dari luru optikal lebih baik dari luru digital. Luru optikal kebiasaannya untuk jarak yang pendek dan sederhana sahaja. Ia menggunakan satu unit lensa yang membolehkan kita mengubah jarak fokal. Jadi kita dapat menggerakkan dari satu pembesaran ke pembesaran yang lebih besar. Jarak luru berkaitan dengan pembesaran maksimum dan minimum. Luru digital boleh mengambil imej yang lebih daripada luru optikal. Luru yang dibuat oleh luru digital akan menunjukan keseluruhan imej yang sampai ke CCD. Namun imej yang dihasilkan tidak cantik dan luar fokus dan terjejas jika berlaku gegaran(fotografi). Imej digitalnya akan kelihatan dan imej akan berkotak-kotak(pixel).


FOCUS PULLING
Dalam mendapatkan imej yang benar-benar berkualiti dan sempurna, teknik focus pulling adalah paling berkesan. Menerusi teknik ini, objek yang dirakam akn sentiasa dalam fokus walaupun dalam jarak fokal yang berubah-ubah. Didalam produksi filem misalnya, terdapat petugas khas yang mengendalikan focus pulling iaitu focus puller.

Secara teknikal, luru dalam paling maksimum(jarak fokal terpendek) akan memberikan semua jarak akan kelihatan dalam fokus. Namun jika dikira secara matematikal, fokus yang di berikan tidak cukup tepat dan masih ada bahagian yang kabur(luar fokus). Jadi, focus pulling akan menyelesaikan masalah ini dengan menanda fokus yang sesuai pada gegelang fokus untuk setiap jarak fokal yang diberikan. Dengan teknik ini, segala kerja kamera seperti pan, tilt, tracking, dolly dan lain-lain tidak mengganggu fokus dan imej akan sentiasa dalam kelihatan dalam fokus. Ketika meluru dalam mahupun luar, fokus akan sedikit terganggu kerana jarak fokal berubah. Focus pulling pada point pertama dan terakhir luru akan menjadikan luru yang dilakukan lebih cantik.


KELEBIHAN LENSA LURU
Kebolehan memberikan imej yang fokus dalam pelbagai jarak fokal memberikan kelebihan kepada lensa ini diguna pakai dalam semua kamera video. Lensa ini menepati kehendak kamera video yang digunakan untuk penggambaran yang pelbagai jenis. Lensa luru sesuai digunakan dalam situasi yang berbeza-beza.

Secara umumnya, terdapat dua situasi penggambaran; penggambaran terkawal dan penggambaran tidak terkawal. Penggambaran terkawal adalah seperti penggambaran drama, dokumentari(terdapat juga tidak terkawal) dan filem. Penggambaran tidak terkawal pula adalah seperti rakaman live, televisyen dan berita tempat kejadian.

Untuk penggambaran terkawal, kamera akan diletakkan di pelbagai sudut mengikut kehendak dan keperluannya. Kamera juga akan bergerak dengan pelbagai cara mengikut kerja kamera yang akan ditetapkan. Subjek dalam bingkai juga mungkin akan bergerak dan membuatkan jarak fokal dan bidang jarak berubah. Untuk mendapatkan komposisi gambar yang cantik dan sesuai, lensa luru akan membolehkan imej yang jauh mahupun dekat dengan kamera kelihatan fokus. Drama mahupun filem yang dihasilkan akan lebih berkualiti.

Bagi penggambaran luar kawalan pula, kamera akan berada dalam keadaan luar jangkaan jurukamera. Imej yang ingin dirakam mungkin jauh dan tidak dapat diambil jika menggunakan lensa prima. Dengan menggunakan kanta luru, imej yang ingin dirakam akan lebih kelihatan jelas. Namun, jika lensa ini meluru dalam lebih jauh, imej akan berada dalam luar fokus dan rakaman akan terjejas. Dalam hal ini, auto-focus memainkan peranan penting untuk memastikan imej dalam keadaan fokus sentiasa. Fungsi auto-focus ini mampu memberikan imej dalam fokus dengan cepat dalam situasi subjek bergerak atau kamera yang bergerak.

KEBURUKAN LENSA LURU
Manusia makin malas apabila semakin teknologi memudahkan kerja. Lensa luru seringkali digunakan dalam rakaman dan penggambaran untuk memudahkan kerja. Sesetengah jurukamera menggunakan lensa luru kerana malas memindahkan kamera ke tempat lain. Luru juga digunakan jurukamera yang ingin menjimatkan shot yang diambil dan mengambil jalan mudah dengan menggunakan lensa luru.Hal ini akan menyebabkan sudut kamera menjadi mangsa, komposisi yang tidak kemas dan imej yang tidak cantik.

Luru juga merupakan gaya yang menjadi ikutan pembikin filem mahupun mereka yang terlibat dalam dunia penyiaran terutamanya jurukamera. Ia seakan-akan menjadi penyakit yang merebak luas dalam pembikinan filem dan drama khursusnya. Luru yang tidak mempunyai motif dan maksud sering dilakukan dewasa ini dan menjadikan seni ini seakan-akan rendah nilainya. Berpunca dari kurangnya kefahaman mengenai bahasa visual, shot luru dilaku kan secara melulu ini juga sering dipraktikkan oleh penggiat seni ini seringkali memandang rendah nilai estatika seni filem khursusnya.

Selain itu, meluru juga berpunca dari kurangnya kefahaman tentang kesinambungan dan kontinuiti. Shot dan sudut kamera yang berubah-ubah akan memberikan jarak fokal dan bidang jarak yang berbeza. Dalam hal ini, lensa luru tidak dapat memberikan kontinuiti jarak fokal yang sama pada setiap shot dan sudut kamera. Contohnya, shot pertama; imej seorang lelaki diambil dari depan secara medium shot pada jarak fokal 36mm. Shot seterusnya pula adalah close up wajahnya pada jarak fokal 22mm. Kemudian jurukamera meluru keluar untuk medapatkan medium shot lelaki itu semula. Tiada kesinambungan antara shot yang diambil kerana jarak fokal tidak sama walaupun menggunakan jenis shot yang sama. Hal ini banyak berlaku kepada jurukamera yang tidak faham mengenai kontinuiti.


KESIMPULAN
Lensa luru dicipta untuk memudahkan kerja kamera terutamanya kamera video. Ia boleh digunakan pada masa-masa tertentu dan situasi yang sesuai.Tabiat meluru tanpa sebab dan motif haruslah dijauh kerana ia boleh merosakkan hasil rakaman. Walaupun ia kadang kala kelihatan bergaya, namun ia boleh memakan diri. Lensa luru seharusnya menjadikan menbantu hasil persembahan bukannya merosakkannya.

LENSA LURU (ZOOM LENS) -Part 1

1. LENSA : FUNGSI DAN APLIKASINYA
Lensa merupakan aset terpenting dalam sesebuah kamera; termasuklah kamera statik, video, dan filem gambar bergerak (motion picture). Ia juga turut di gunakan dalam alat seperti binokular, microskop dan teleskop. Bertindak sebagai mata kepada sesebuah kamera, lensa akan memberi maklumat imej kepada sistem perakam kamera. Terdapat pelbagai jenis lensa kamera termasuklah lensa prima, lensa sudut-luas, lensa telefoto, lensa mata-ikan, lensa luru dan beberapa jenis lain yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat besar dari masa ke semasa.


2. SEJARAH LENSA LURU
Diawal penggunaannya ia digunakan dalam teleskop optikal kemudian dikembangkan penggunaannya dalam teknologi rakaman imej. Paten awal lensa telefoto juga dilengkapi elemen kanta mudah alih yang boleh diubah kepada semua jarak fokal yang ada pada lensa. Ia dipanggil lensa varifokal; apabila jarak fokal berubah, posisi fokal plane juga bergerak mengikut apa yang di baca oleh kanta fokus selepas setiap perubahan. Kemudian ia berkembang dengan penciptaan lensa luru yang lebih memberikan imej yang dalam fokus walaupun objek terlalu dekat dengan lensa dan jarak fokal kanta yang lebih efektif. Ia dipatenkan pada 1902 oleh Clie. C. Allen di Amerika Syarikat.


3. PENGENALAN KAMERA VIDEO DAN LENSA LURU
Seperti kamera filem, kamera video juga “melihat” melalui lensa. Menerusi lensa, cahaya akan dipancarkan ke charge-coupled device(CCD) lalu di bawa ke sistem perakam kamera(VCR). Imej akan dapat dilihat melalui viewfinder. Kamera video kebiasaannya dilengkapi dengan lensa luru yang sedia terbina dalam kamera. Lensa luru berupaya memberi jarak fokal yang berbeza berbanding lensa prima yang memberi jarak fokal yang tetap. Dalam kata lain, kita mampu melihat obek yang jauh kelihatan lebih dekat dan objek yang dekat kelihatan jauh. Ia digambarkan mampu memberi nisbah jarak fokal yang terpanjang ke yang paling pendek. Sebagai contoh, kanta luru yang mempunyai jarak fokal dari 100mm ke 400mm juga boleh dikatakan sebagai 4:1. atau “4x zoom” seperti yang terdapat tertulis di kamera-kamera video yang ada di pasaran kini. Terdapat dua cara luru iaitu secara manual dan automatik. Luru secara manual menggunakan gegelang luru yang dipusingkan ke kiri dan ke kanan. Ke kiri untuk luru dalam ke kanan untuk luru luar. Luru automatik pula mempunyai butang in dan out untuk luru dalam dan luru luar.

3.1 Lensa Fokus
Lensa luru juga turut disertakan dengan lensa fokus yang menentukan kejelasan subjek. Ia menentukan subjek yang dirakam luar atau dalam fokus. Fokus boleh di dapati secara manual dengan memutarkan gegelang fokus.Jurukamera boleh memilih subjek yang diingini untuk fokus atau luar fokus. Terdapat juga autofocus motor yang mengawal fokus secara automatik. Sinaran infra merah akan menyerap pantulan cahaya dari subjek di tengah-tengah bingkai(frame) dan kembali kepada sensor kamera. Bagi mendapatkan jarak subjek dengan lensa, processer akan mengira jarak yang diambil sinaran untuk memantul dan kembali. Jarak tersebut akan didarabkan dengan kelajuaan cahaya dan dibahagikan dua(kerana ia melalui jarak berganda-kepada ojek dan kembali semula). Rakaman yang luar tak terkawal seperti program live dan rakaman jenayah, autofocus digunakan. Dalam aplikasi lensa luru kepada lensa fokus, luru dalam paling maksimum(jarak fokal terpendek) kemudian fokus akan memberikan semua jarak akan kelihatan dalam fokus.


Unit utama kamera


Motor Kanta Fokus


Sistem Lensa Kamera Video


3.2 Iris
Selain itu, terdapat iris pada kamera yang berfungsi mengawal kuantiti cahaya yang masuk ke dalam lensa dan memberi dedahan cahaya yang sesuai. Iris disukat menerusi bukaannya(hentian f) yang biasanya bermula dari f1.4, f2.8, f4, f5.6, f8, f11, f16, f36. Bukaan yang sebelah kiri adalah gandaan kuantiti cahaya f number yang di sebelah kanan. Nombor yang lebih besar memberikan dedahan cahaya yang lebih kecil. Satu hentian bersamaan dengan dua kali cahaya. Formula luas bukaan iris dapat di kira dengan :-

JARAK FOKUS/DIAMETER LENSA = LUAS BUKAAN IRIS


Seperti juga mata kita yang mempunyai iris yang bertidak secara automatik, terdapat juga butang auto iris pada kamera yang mengarahkan kamera memberikan dedahan cahaya yang sesuai yang keadaan sekeliling. Namun, ketika luru dilakukan, imej akan kelihatan gelap dan cerah dalam keadaan yang tidak sesuai. Hasil rakaman akan kelihatan “cacat” dan tidak cantik. Konteks antara iris dan kanta luru adalah bukaan yang tepat akan memberikan subjek dalam keadaan fokus dan seterusnya memberikan imej luru yang cantik.

3.3 Cara-cara Menggunakan Lensa Luru:-
1. Tujukan kepada kepada subjek.
2. Luru dalam(zoom in) maksima kepada subjek.
3. Fokus subjek sehingga imej kelihatan betul-betul dalam fokus.
4. Luru luar(zoom out) untuk mencari komposisi yang diingini.
5. Tentukan hentian f yang sesuai.
6. Tekan butang RECORD untuk rakaman. Sediakan 6 saat sebelum syot sebenar dirakam.

REKAAN PRODUKSI DALAM BUJANG LAPOK

Nama P.Ramlee dan filem trilogi Bujang Lapok bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Filem-filem ini masih dan akan selamanya segar. Filem Bujang Lapok(1957), sekuel pertama trilogi tersebut ini membariskan tenaga produksi yang kreatif dan tak kering dengan idea menjadikan filem ini antara yang terbaik karya Allahyarham P.Ramlee. Filem ini mengisahkan Ramli, Aziz dan Sudin tinggal di rumah sewa kepunyaan Normah. Sudin dan Zaiton ingin berkahwin tetapi emak Zaiton tidak setuju. Ayu, adik kepada Zaiton, sentiasa meminta upah untuk menutup rahsia perhubungan Sudin dan Zaiton. Aziz pula membantu Sapiah yang menderita di tangan bapa angkatnya yang kejam. Selepas beberapa lama, ketiga-tiga sahabat ini berkahwin dengan gadis pilihan masing-masing. Dengan barisan pelakon utamanya P.Ramlee, S.Samsudin dan Aziz Satar, filem ini berjaya membawa penonton masuk ke dalam dunia Bujang Lapok.

Pengarahan seni di dalam sesebuah filem merupakan antara aspek terpenting dalam membantu penceritaan. Individu yang berperanan memastikan filem Bujang Lapok terbaik dari segi pengarahan seninya adalah Mustafa Yasin. Beliau merupakan pengarah seni yang sering berkerja bersama P.Ramlee ketika di Shaw Brothers. Di dalam filem ini beliau telah memberikan rekaan produksi yang tepat dan menepati apa yang dikehendaki P.Ramlee selaku pengarah. Kombinasi ini menjadikan Bujang Lapok boleh dikatakan berjaya menyampaikan metafora visual yang parodi dan dekat dengan jiwa penonton zaman-berzaman. Susunan set dan props di dalam filem ini diatur dengan baik bukan sahaja untuk memudahkan kerja-kerja teknikal malah untuk memastikan perlambangan yang dipaparkan kelak tepat dan sesuai. Mustafa Yasin telah memberikan yang terbaik untuk Bujang Lapok.dan hasilnya adalah sebuah filem klasik melayu yang menjadi rujukan pembikin-pembikin filem generasi baru dewasa ini.

Bujang Lapok bermula dengan shot pekan kecil yang sederhana sibuk sesuai dengan keadaan pada zaman pra-kemerdekaan ketika itu. Pengenalan watak dan perwatakan bermula dengan perlambangan gaya hidup ketiga-tiga bujang lapok yang tinggal di rumah sewa kepunyaan Cik Normah. Gaya hidup yang sederhana ditonjolkan P.Ramlee jelas terpapar ketika babak mereka membeli ayam, babak bujang lapok menukar pakaian selepas pulang dari kerja, babak memasak di dapur usang dan babak makan berhidang. Keserdehanaan hidup menjadi isu utama dalam filem ini. Namun, keesempitan hidup dan keterpaksaan yang membuatkan seseorang melakukan sesuatu yang diluar norma kehidupan menjadi tulang belakang yang mengalirkan cerita ini dengan jayanya. Cerita dalam cerita yang diselitkan P.Ramlee mengenai gadis yang terpaksa menyara kehidupan keluarga dengan menipu wang lelaki yang keluar bersamanya. Lebih menarik dialog terakhir gadis itu tergantung dan memberi persoalan yang membuatkan kita semua berfikir. Kemudian babak berakhir dengan P.Ramlee (Pengarah)berkata sesuatu yang masih segar di ingatan saya, “Inilah sandiwara dunia…”. Dialog tersebut memberi seribu pengertian bagi saya yang turut memberi gambaran keseluruhan filem ini.

Simbol keharmonian dan kemakmuran hidup dalam satu komuniti kecil di sebuah kawasan perkampungan jelas terpapar di minit-minit awal filem ini. P.Ramlee juga sebagai pencatat sejarah telah memaparkan pada kita budaya hidup ketika itu. Namun, konflik dalam masyarakat mengenai perbezaan taraf hidup turut di selitkan. Babak ibu Zaiton mengamuk kerana anaknya sering berjumpa dengan Sudin merupakan perlambangan jurang sosial masyarakat yang disampaikan secara komedi oleh P. Ramlee. Masih terngiang di telinga saya dialog mak Zaiton dan mak Sudin,”Hei,mak Sudin, saya ada dua cincin berlian tau!”.”Saya pun ada tau…cincin tembaga.”.Cincin berlian dan cincin tembaga merupakan metafora yang kemas dan sesuai melambangkan dua darjat yang bebeza. Penyakit dalam masyarakat seperti ayah memanupulasi anaknya untuk kepentingan sendiri, masyarakat yang suka berpoya-poya dan gadis yang menipu lelaki untuk menyara kehidupan keluarga melengkapkan lagi filem Bujang Lapok. Saya amat tertarik dengan beberapa babak P.Ramlee di tipu oleh gadis-gadis ketika temujanji pertama. Beliau bagaikan sudah nampak akan penyakit masyarakat itu yang sedang menular kini. Namun dibandingkan dengan zaman ini adalah ‘cinta internet’ tetapi bezanya kini lelaki pula yang menipu gadis.

Filem Bujang Lapok juga sarat dengan kritikan sosial yang diberikan secara komedi iaitu yang paling jelas ialah watak Ayu yang selalu meminta 20sen kepada kakaknya sebagai upah menutup rahsia. Watak Ayu merupakan metafora kepada pengamal-pengamal rasuah yang hanya tahu mengaut keuntungan dari kelemahan orang lain. Isu rasuah ini terus menjadi subjek pilihan P.Ramlee untuk beberapa filem beliau yang lain. Hal ini membuktikan bahawa P.Ramlee begitu mengambilberat tentang wabak sosial yang merosakkan bangsa dan ini. Kebijaksanaan P.Ramlee memberi nasihat secara komedi juga terbukti ketika babak Aziz tidak setuju dengan wang hantaran yang tinggi dan majlis kenduri yang besar-besaran sehingga terpaksa meminjam duit ceti. Namun pendapat Aziz tidak persetujui oleh Sudin dan ibunya. Tiba-tiba jiran mereka memberikan contoh yang sedia ada untuk di teladani oleh mereka. P.Ramlee tidak memberi resolusi untuk babak itu sebaliknya meminta penonton memikirkan sendiri hal tersebut. Renung-renungkan bersama. Antara babak lain yang turut digarap baik ialah perihal menghormati masa ketika Sudin datang lewat ke pejabat dan ditegur oleh majikannya. Majikannya bertegas untuk memotong gajinya RM2 tetapi telah memberinya RM2 semula dan menyuruh membaiki jarum jam tangannya. P.Ramlee secara sinis menasihati kita menghormati masa lebih dari yang lain.

Selain itu, P.Ramlee turut menekankan simbolik kepentingan komunikasi menerusi bunyi dua botol yang dilagakan yang digunakan oleh Sudin dan Zaiton untuk saling berhubung. Trade-mark filem ini juga merupakan satu simbolik betapa pentingnya komunikasi dalam kehidupan. Tidak keterlampauan rasanya jika dikatakan adegan melagakan botol itulah menggerakkan jalan cerita dari plot ke plot. Sebagai bukti, Zaiton memanggil Sudin ketika jika menghadapi masalah ibunya tidak suka dia berkawin dengan orang kebanyakan. Sudin juga memanggil Zaiton ketika ingin menyelesaikan masalah hendak mendapatkan wang untuk tujuan hantaran perkahwinan. Jadi, P.Ramlee cuba menyampaikan kepada kita bahawa tanpa komunikasi dalam kehidupan, hidup tiada serinya bak irama tanpa lagunya. Bentuk komunikasi yang berubah dari masa ke semasa kini tetap kekal sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. P.Ramlee tidak lupa mengenai isu seksual dalam filem ini iaitu ketika babak Cik Normah cuba mengejutkan Ramlee yang tidur tanpa baju. Simbol seksual jelas terpapar diwajah Cik Normah yang tiba-tiba berubah apabila Ramlee meletakkan tangan Cik Normah di dada Ramlee. Begitu jua dengan adegan Ramlee mencium Aziz yang disangkakan Cik Normah. Mujurlah filem ini ditayangkan 40 tahun dahulu, Jika ianya pada era ini mungkin adegan ini menjadi isu besar atau dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem(LPF).huhu…

Pelambangan visual menarik dan tepat dengan tujuannya hasil kerja kombinasi P.Ramlee dan Mustafa Yasin dibantu oleh sentuhan A.Bakar Ali sebagai pengarah fotografi, menjadikan Bujang Lapok indah dari segi penceritaan sinematiknya. Teknik fotografi yang menggunakan tiga lapisan: lapisan hadapan, lapisan tengah dan latar belakang digunakan sepenuhnya dengan cemerlang dalam filem ini. Beberapa babaknya menunjukkan watak berlatarbelakangkan pintu dan tingkap(berbentuk segi empat tepat) melambangkan watak bagaikan terkurung dalam pemikiran sempit. Ada juga watak keluar dari ‘kotak’ tesebut menunjukkan dia keluar dari pemikiran yang sempit itu. Contohnya babak Sapiah pergi meminta beras pada Cik Normah jelas menunjukkan perihal tersebut. Permainan bentuk dan garisan sejanjang yang kemas bukan sahaja segar untuk tatapan penonton malah turut membawa maksud tersirat.

Bujang Lapok juga sarat dengan kritikan sosial yang diberikan secara komedi iaitu yang paling jelas ialah watak Ayu yang selalu meminta 20sen kepada kakaknya sebagai upah menutup rahsia. Watak Ayu merupakan metafora kepada pengamal-pengamal rasuah yang hanya tahu mengaut keuntungan dari kelemahan orang lain. Kebijaksanaan P.Ramlee memberi nasihat secara komedi juga terbukti ketika babak Aziz tidak setuju dengan wang hantaran yang tinggi dan majlis kenduri yang besar-besaran sehingga terpaksa meminjam duit ceti. Namun pendapat Aziz tidak persetujui oleh Sudin dan ibunya. Tiba-tiba jiran mereka memberikan contoh yang sedia ada untuk di teladani oleh mereka. P.Ramlee tidak memberi resolusi untuk babak itu sebaliknya meminta penonton memikirkan sendiri hal tersebut. Renung-renungkan bersama. Antara babak lain yang turut digarap baik ialah perihal menghormati masa ketika Sudin datang lewat ke pejabat dan ditegur oleh majikannya. Majikannya bertegas untuk memotong gajinya RM2 tetapi telah memberinya RM2 semula dan menyuruh membaiki jarum jam tangannya. P.Ramlee secara sinis menasihati kita menghormati masa lebih dari yang lain. Garisan sejanjang yang condong pada setiap frame disamping watak memberi gambaran pada penonton bahawa watak itu aktif. Bentuk yang ada dalam frame yang diberi oleh props dan set turut menguatkan lagi karekter watak yang ditonjolkan. Namun terdapat juga komposisi shot yang kurang menarik dan kurang sesuai dengan situasi babak. Contohnya shot Zaiton menyindir ibunya yang bercakap Bahasa Inggeris, terdapat tulisan bismillah di atas kepalanya. Pada mulanya saya berfikir mungkin Zaiton berpegang teguh pada ajaran agama dan menyindir ibunya yang belajar Bahasa Inggeris, namun ketika itu dia baru pulang dari bertemu Sudin dan topik Bahasa Inggeris itu semata-mata mengaburi mata ibunya!

Aspek asas dalam seni visual masih ditekankan oleh P.Ramlee dan Mustafa Yasin dalam filem ini misalnya eye-level ketika watak berinteraksi antara satu sama lain. Setiap watak yang berdialog di berikan eye-level yang sesuai dengan situasi. Misalnya, babak awal ketka Ramlee menjual ubat wangi kepada majikan Sudin. Kedudukan eye-level Ramlee dan majikan Sudin ketika Ramlee menerangkan kebaikan minyak wanginya memberikan dia lebih tinggi kerana dia berdiri. Majikan Sudin yang duduk di kerusinya mendengar dengan baik. Secara psikologinya, orang yang berdiri lebih berkuasa dari orang yang duduk. P.Ramlee menggarap baik hal ini kerana selepas itu majikan Sudin pula yang berdiri kerana mendengar ulasan lumba kuda dan Ramlee pula yang terduduk kerana kecewa. Kedua-dua watak ini telah menunjukkan ‘kuasa’ masing-masing ketika beraksi. Penggunaan point-of-view yang sesuai juga turut melengkapkan lagi aspek pengarahan seni filem ini. Teknik ini lebih intraktif kerana ia memberi sudut perspektif kepada penonton untuk turut sama dalam cerita. Namun terdapat juga kesilapan penggunaan teknik tersebut seperti babak Sudin menghalang ibunya dari masuk ke biliknya untuk mengambil pakaian kotor. Kesilapan dikenalpasti ketika Aziz berkata sesuatu kepada Sudin. Shot over-shoulder Sudin pada mulanya menunjukkan Aziz bertentangan dengannya tetapi shot seterusnya menunjukkan Aziz lebih bawah daripada Sudin. Mungkin ia adalah kesilapan ketika penyuntingan atau ia memang disegajakan untuk tujuan yang tak dapat kita tafsirkan.

Format filem hitam-putih pada zaman itu menjadikan aspek warna tidak dititikberatkan. Oleh kerana itu, aspek lain perlu ditekankan termasuklah corak,bentuk dan saiz. Permainan corak jelas ketika montaj pembukaan yang seakan-akan memberitahu kita bahawa kita akan dihidangkan filem komedi. Tulisan yang digunakan untuk karekter watak dan tenaga produksi yang diperkenalkan sesuai. Babak ketika bujang lapok memasak sup ayam didapur usang mempunyai nilai seni yang tinggi. Corak dinding yang usang tampak neutral walhal ianya di reka didalam studio.Selain itu, rekabentuk set yang kemas dan teliti juga dapat dikenalpasti ketika babak-babak yang melibatkan bilik bujang lapok, bilik Cik Normah dan rumah Zaiton. Susunan perabot, perhiasan dalaman, dan barangan lain yag ada dalam set direka menepati karekter, stasus dan latar belakang watak. Rumah Zaiton mempunyai susunan perabot yang kemas dan teratur. Hiasan dalaman yang agak rapid an barangan lain yang kelihatan elegan. Ini menggambarkan diri Zaiton yang mempunyai kehidupan yang stabil dan tinggal bersama keluarga. Begitu juga dengan bilik Cik Normah yang tersusun sesuai dengan gaya feminis dan kehidupannya dan stabil walaupun berstasus janda. Hal ini berlainan pula dengan bilik bujang lapok yang agak ringkas dari segi hiasan dalaman, perabot yang terhad dan keadaan bilik yang serba-serbi sederhana sesuai dengan stasus bujang terlajak yang ditonjolkan. Peribadi, karekter, stasus dan latar belakang watak bukan sahaja digambarkan dari tingkahlaku, dialog dan gaya sahaja malah melalui tempat tinggal mereka.

Seni rupa dan bentuk digarap baik bagi memastikan mata penonton segar terpaku melihat setiap frame di samping fungsi sebenarnya sebagai memperkuatkan jalan cerita dan lakonan. Hal ini dapat diperhatikan hampir keseluruhan babak yang dicipta. Rupa dan bentuk yang segar terbentuk dari props dan set yang ada di dalam frame bukanlah sengaja dibuat-buat atau secara kebetulan sahaja berada di situ. Segala-galanya disusun untuk memberi maksud yang diinginkan. Contohnya bentuk props seperti almari, radio, dan meja yang berbentuk kubus dan koboid misalnya, tidak kelihatan lurus atau nampak satu permukaan sahaja. Sudut kamera yang baik menjadikan props tersebut tampak menarik menampakkan bentuknya asalnya sebagai bentuk kubus atau kuboid. Ia juga memberi gambaran watak sedang aktif beraksi dalam babak dan menggerakkan jalan cerita. Teknik ini sebenarnya bagaikan satu perkara yang wajib ada dalam setiap filem untuk berjaya. Bujang Lapok telah membuktikan pada kita perkara ini dengan shot yang menarik dengan menggunakan teknik tersebut.

Secara konklusinya, filem Bujang Lapok adalah sebuah filem yang penuh dengan nilai seninya tinggi dan bermutu. P.Ramlee telah membuktikan karismanya dalam filem ini dengan penyampaian subtek yang mendalam dan berfalsafah tinggi. Jadi, tidak hairanlah P.Ramlee digelar seniman agung sepanjang zaman. Namun, karisma P.Ramlee akan hanya berada di kepalanya sahaja jika tanpa tenaga produksi yang membantu seperti Mustafa Yasin, A.Bakar Ali yang masing-masing bertindak sebagai Pengarah Seni dan Pengarah Fotografi yang merealisasikan visual yang ada di dalam kepala P.Ramlee ke atas skrin putih. Kecekapan dan kreativiti tiga individu ini membentuk hasil seni filem yang ‘tak lapok dek hujan, tak lekang dek panas’.