Selasa, 26 Ogos 2008

REKAAN PRODUKSI DALAM BUJANG LAPOK

Nama P.Ramlee dan filem trilogi Bujang Lapok bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Filem-filem ini masih dan akan selamanya segar. Filem Bujang Lapok(1957), sekuel pertama trilogi tersebut ini membariskan tenaga produksi yang kreatif dan tak kering dengan idea menjadikan filem ini antara yang terbaik karya Allahyarham P.Ramlee. Filem ini mengisahkan Ramli, Aziz dan Sudin tinggal di rumah sewa kepunyaan Normah. Sudin dan Zaiton ingin berkahwin tetapi emak Zaiton tidak setuju. Ayu, adik kepada Zaiton, sentiasa meminta upah untuk menutup rahsia perhubungan Sudin dan Zaiton. Aziz pula membantu Sapiah yang menderita di tangan bapa angkatnya yang kejam. Selepas beberapa lama, ketiga-tiga sahabat ini berkahwin dengan gadis pilihan masing-masing. Dengan barisan pelakon utamanya P.Ramlee, S.Samsudin dan Aziz Satar, filem ini berjaya membawa penonton masuk ke dalam dunia Bujang Lapok.

Pengarahan seni di dalam sesebuah filem merupakan antara aspek terpenting dalam membantu penceritaan. Individu yang berperanan memastikan filem Bujang Lapok terbaik dari segi pengarahan seninya adalah Mustafa Yasin. Beliau merupakan pengarah seni yang sering berkerja bersama P.Ramlee ketika di Shaw Brothers. Di dalam filem ini beliau telah memberikan rekaan produksi yang tepat dan menepati apa yang dikehendaki P.Ramlee selaku pengarah. Kombinasi ini menjadikan Bujang Lapok boleh dikatakan berjaya menyampaikan metafora visual yang parodi dan dekat dengan jiwa penonton zaman-berzaman. Susunan set dan props di dalam filem ini diatur dengan baik bukan sahaja untuk memudahkan kerja-kerja teknikal malah untuk memastikan perlambangan yang dipaparkan kelak tepat dan sesuai. Mustafa Yasin telah memberikan yang terbaik untuk Bujang Lapok.dan hasilnya adalah sebuah filem klasik melayu yang menjadi rujukan pembikin-pembikin filem generasi baru dewasa ini.

Bujang Lapok bermula dengan shot pekan kecil yang sederhana sibuk sesuai dengan keadaan pada zaman pra-kemerdekaan ketika itu. Pengenalan watak dan perwatakan bermula dengan perlambangan gaya hidup ketiga-tiga bujang lapok yang tinggal di rumah sewa kepunyaan Cik Normah. Gaya hidup yang sederhana ditonjolkan P.Ramlee jelas terpapar ketika babak mereka membeli ayam, babak bujang lapok menukar pakaian selepas pulang dari kerja, babak memasak di dapur usang dan babak makan berhidang. Keserdehanaan hidup menjadi isu utama dalam filem ini. Namun, keesempitan hidup dan keterpaksaan yang membuatkan seseorang melakukan sesuatu yang diluar norma kehidupan menjadi tulang belakang yang mengalirkan cerita ini dengan jayanya. Cerita dalam cerita yang diselitkan P.Ramlee mengenai gadis yang terpaksa menyara kehidupan keluarga dengan menipu wang lelaki yang keluar bersamanya. Lebih menarik dialog terakhir gadis itu tergantung dan memberi persoalan yang membuatkan kita semua berfikir. Kemudian babak berakhir dengan P.Ramlee (Pengarah)berkata sesuatu yang masih segar di ingatan saya, “Inilah sandiwara dunia…”. Dialog tersebut memberi seribu pengertian bagi saya yang turut memberi gambaran keseluruhan filem ini.

Simbol keharmonian dan kemakmuran hidup dalam satu komuniti kecil di sebuah kawasan perkampungan jelas terpapar di minit-minit awal filem ini. P.Ramlee juga sebagai pencatat sejarah telah memaparkan pada kita budaya hidup ketika itu. Namun, konflik dalam masyarakat mengenai perbezaan taraf hidup turut di selitkan. Babak ibu Zaiton mengamuk kerana anaknya sering berjumpa dengan Sudin merupakan perlambangan jurang sosial masyarakat yang disampaikan secara komedi oleh P. Ramlee. Masih terngiang di telinga saya dialog mak Zaiton dan mak Sudin,”Hei,mak Sudin, saya ada dua cincin berlian tau!”.”Saya pun ada tau…cincin tembaga.”.Cincin berlian dan cincin tembaga merupakan metafora yang kemas dan sesuai melambangkan dua darjat yang bebeza. Penyakit dalam masyarakat seperti ayah memanupulasi anaknya untuk kepentingan sendiri, masyarakat yang suka berpoya-poya dan gadis yang menipu lelaki untuk menyara kehidupan keluarga melengkapkan lagi filem Bujang Lapok. Saya amat tertarik dengan beberapa babak P.Ramlee di tipu oleh gadis-gadis ketika temujanji pertama. Beliau bagaikan sudah nampak akan penyakit masyarakat itu yang sedang menular kini. Namun dibandingkan dengan zaman ini adalah ‘cinta internet’ tetapi bezanya kini lelaki pula yang menipu gadis.

Filem Bujang Lapok juga sarat dengan kritikan sosial yang diberikan secara komedi iaitu yang paling jelas ialah watak Ayu yang selalu meminta 20sen kepada kakaknya sebagai upah menutup rahsia. Watak Ayu merupakan metafora kepada pengamal-pengamal rasuah yang hanya tahu mengaut keuntungan dari kelemahan orang lain. Isu rasuah ini terus menjadi subjek pilihan P.Ramlee untuk beberapa filem beliau yang lain. Hal ini membuktikan bahawa P.Ramlee begitu mengambilberat tentang wabak sosial yang merosakkan bangsa dan ini. Kebijaksanaan P.Ramlee memberi nasihat secara komedi juga terbukti ketika babak Aziz tidak setuju dengan wang hantaran yang tinggi dan majlis kenduri yang besar-besaran sehingga terpaksa meminjam duit ceti. Namun pendapat Aziz tidak persetujui oleh Sudin dan ibunya. Tiba-tiba jiran mereka memberikan contoh yang sedia ada untuk di teladani oleh mereka. P.Ramlee tidak memberi resolusi untuk babak itu sebaliknya meminta penonton memikirkan sendiri hal tersebut. Renung-renungkan bersama. Antara babak lain yang turut digarap baik ialah perihal menghormati masa ketika Sudin datang lewat ke pejabat dan ditegur oleh majikannya. Majikannya bertegas untuk memotong gajinya RM2 tetapi telah memberinya RM2 semula dan menyuruh membaiki jarum jam tangannya. P.Ramlee secara sinis menasihati kita menghormati masa lebih dari yang lain.

Selain itu, P.Ramlee turut menekankan simbolik kepentingan komunikasi menerusi bunyi dua botol yang dilagakan yang digunakan oleh Sudin dan Zaiton untuk saling berhubung. Trade-mark filem ini juga merupakan satu simbolik betapa pentingnya komunikasi dalam kehidupan. Tidak keterlampauan rasanya jika dikatakan adegan melagakan botol itulah menggerakkan jalan cerita dari plot ke plot. Sebagai bukti, Zaiton memanggil Sudin ketika jika menghadapi masalah ibunya tidak suka dia berkawin dengan orang kebanyakan. Sudin juga memanggil Zaiton ketika ingin menyelesaikan masalah hendak mendapatkan wang untuk tujuan hantaran perkahwinan. Jadi, P.Ramlee cuba menyampaikan kepada kita bahawa tanpa komunikasi dalam kehidupan, hidup tiada serinya bak irama tanpa lagunya. Bentuk komunikasi yang berubah dari masa ke semasa kini tetap kekal sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. P.Ramlee tidak lupa mengenai isu seksual dalam filem ini iaitu ketika babak Cik Normah cuba mengejutkan Ramlee yang tidur tanpa baju. Simbol seksual jelas terpapar diwajah Cik Normah yang tiba-tiba berubah apabila Ramlee meletakkan tangan Cik Normah di dada Ramlee. Begitu jua dengan adegan Ramlee mencium Aziz yang disangkakan Cik Normah. Mujurlah filem ini ditayangkan 40 tahun dahulu, Jika ianya pada era ini mungkin adegan ini menjadi isu besar atau dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem(LPF).huhu…

Pelambangan visual menarik dan tepat dengan tujuannya hasil kerja kombinasi P.Ramlee dan Mustafa Yasin dibantu oleh sentuhan A.Bakar Ali sebagai pengarah fotografi, menjadikan Bujang Lapok indah dari segi penceritaan sinematiknya. Teknik fotografi yang menggunakan tiga lapisan: lapisan hadapan, lapisan tengah dan latar belakang digunakan sepenuhnya dengan cemerlang dalam filem ini. Beberapa babaknya menunjukkan watak berlatarbelakangkan pintu dan tingkap(berbentuk segi empat tepat) melambangkan watak bagaikan terkurung dalam pemikiran sempit. Ada juga watak keluar dari ‘kotak’ tesebut menunjukkan dia keluar dari pemikiran yang sempit itu. Contohnya babak Sapiah pergi meminta beras pada Cik Normah jelas menunjukkan perihal tersebut. Permainan bentuk dan garisan sejanjang yang kemas bukan sahaja segar untuk tatapan penonton malah turut membawa maksud tersirat.

Bujang Lapok juga sarat dengan kritikan sosial yang diberikan secara komedi iaitu yang paling jelas ialah watak Ayu yang selalu meminta 20sen kepada kakaknya sebagai upah menutup rahsia. Watak Ayu merupakan metafora kepada pengamal-pengamal rasuah yang hanya tahu mengaut keuntungan dari kelemahan orang lain. Kebijaksanaan P.Ramlee memberi nasihat secara komedi juga terbukti ketika babak Aziz tidak setuju dengan wang hantaran yang tinggi dan majlis kenduri yang besar-besaran sehingga terpaksa meminjam duit ceti. Namun pendapat Aziz tidak persetujui oleh Sudin dan ibunya. Tiba-tiba jiran mereka memberikan contoh yang sedia ada untuk di teladani oleh mereka. P.Ramlee tidak memberi resolusi untuk babak itu sebaliknya meminta penonton memikirkan sendiri hal tersebut. Renung-renungkan bersama. Antara babak lain yang turut digarap baik ialah perihal menghormati masa ketika Sudin datang lewat ke pejabat dan ditegur oleh majikannya. Majikannya bertegas untuk memotong gajinya RM2 tetapi telah memberinya RM2 semula dan menyuruh membaiki jarum jam tangannya. P.Ramlee secara sinis menasihati kita menghormati masa lebih dari yang lain. Garisan sejanjang yang condong pada setiap frame disamping watak memberi gambaran pada penonton bahawa watak itu aktif. Bentuk yang ada dalam frame yang diberi oleh props dan set turut menguatkan lagi karekter watak yang ditonjolkan. Namun terdapat juga komposisi shot yang kurang menarik dan kurang sesuai dengan situasi babak. Contohnya shot Zaiton menyindir ibunya yang bercakap Bahasa Inggeris, terdapat tulisan bismillah di atas kepalanya. Pada mulanya saya berfikir mungkin Zaiton berpegang teguh pada ajaran agama dan menyindir ibunya yang belajar Bahasa Inggeris, namun ketika itu dia baru pulang dari bertemu Sudin dan topik Bahasa Inggeris itu semata-mata mengaburi mata ibunya!

Aspek asas dalam seni visual masih ditekankan oleh P.Ramlee dan Mustafa Yasin dalam filem ini misalnya eye-level ketika watak berinteraksi antara satu sama lain. Setiap watak yang berdialog di berikan eye-level yang sesuai dengan situasi. Misalnya, babak awal ketka Ramlee menjual ubat wangi kepada majikan Sudin. Kedudukan eye-level Ramlee dan majikan Sudin ketika Ramlee menerangkan kebaikan minyak wanginya memberikan dia lebih tinggi kerana dia berdiri. Majikan Sudin yang duduk di kerusinya mendengar dengan baik. Secara psikologinya, orang yang berdiri lebih berkuasa dari orang yang duduk. P.Ramlee menggarap baik hal ini kerana selepas itu majikan Sudin pula yang berdiri kerana mendengar ulasan lumba kuda dan Ramlee pula yang terduduk kerana kecewa. Kedua-dua watak ini telah menunjukkan ‘kuasa’ masing-masing ketika beraksi. Penggunaan point-of-view yang sesuai juga turut melengkapkan lagi aspek pengarahan seni filem ini. Teknik ini lebih intraktif kerana ia memberi sudut perspektif kepada penonton untuk turut sama dalam cerita. Namun terdapat juga kesilapan penggunaan teknik tersebut seperti babak Sudin menghalang ibunya dari masuk ke biliknya untuk mengambil pakaian kotor. Kesilapan dikenalpasti ketika Aziz berkata sesuatu kepada Sudin. Shot over-shoulder Sudin pada mulanya menunjukkan Aziz bertentangan dengannya tetapi shot seterusnya menunjukkan Aziz lebih bawah daripada Sudin. Mungkin ia adalah kesilapan ketika penyuntingan atau ia memang disegajakan untuk tujuan yang tak dapat kita tafsirkan.

Format filem hitam-putih pada zaman itu menjadikan aspek warna tidak dititikberatkan. Oleh kerana itu, aspek lain perlu ditekankan termasuklah corak,bentuk dan saiz. Permainan corak jelas ketika montaj pembukaan yang seakan-akan memberitahu kita bahawa kita akan dihidangkan filem komedi. Tulisan yang digunakan untuk karekter watak dan tenaga produksi yang diperkenalkan sesuai. Babak ketika bujang lapok memasak sup ayam didapur usang mempunyai nilai seni yang tinggi. Corak dinding yang usang tampak neutral walhal ianya di reka didalam studio.Selain itu, rekabentuk set yang kemas dan teliti juga dapat dikenalpasti ketika babak-babak yang melibatkan bilik bujang lapok, bilik Cik Normah dan rumah Zaiton. Susunan perabot, perhiasan dalaman, dan barangan lain yag ada dalam set direka menepati karekter, stasus dan latar belakang watak. Rumah Zaiton mempunyai susunan perabot yang kemas dan teratur. Hiasan dalaman yang agak rapid an barangan lain yang kelihatan elegan. Ini menggambarkan diri Zaiton yang mempunyai kehidupan yang stabil dan tinggal bersama keluarga. Begitu juga dengan bilik Cik Normah yang tersusun sesuai dengan gaya feminis dan kehidupannya dan stabil walaupun berstasus janda. Hal ini berlainan pula dengan bilik bujang lapok yang agak ringkas dari segi hiasan dalaman, perabot yang terhad dan keadaan bilik yang serba-serbi sederhana sesuai dengan stasus bujang terlajak yang ditonjolkan. Peribadi, karekter, stasus dan latar belakang watak bukan sahaja digambarkan dari tingkahlaku, dialog dan gaya sahaja malah melalui tempat tinggal mereka.

Seni rupa dan bentuk digarap baik bagi memastikan mata penonton segar terpaku melihat setiap frame di samping fungsi sebenarnya sebagai memperkuatkan jalan cerita dan lakonan. Hal ini dapat diperhatikan hampir keseluruhan babak yang dicipta. Rupa dan bentuk yang segar terbentuk dari props dan set yang ada di dalam frame bukanlah sengaja dibuat-buat atau secara kebetulan sahaja berada di situ. Segala-galanya disusun untuk memberi maksud yang diinginkan. Contohnya bentuk props seperti almari, radio, dan meja yang berbentuk kubus dan koboid misalnya, tidak kelihatan lurus atau nampak satu permukaan sahaja. Sudut kamera yang baik menjadikan props tersebut tampak menarik menampakkan bentuknya asalnya sebagai bentuk kubus atau kuboid. Ia juga memberi gambaran watak sedang aktif beraksi dalam babak dan menggerakkan jalan cerita. Teknik ini sebenarnya bagaikan satu perkara yang wajib ada dalam setiap filem untuk berjaya. Bujang Lapok telah membuktikan pada kita perkara ini dengan shot yang menarik dengan menggunakan teknik tersebut.

Secara konklusinya, filem Bujang Lapok adalah sebuah filem yang penuh dengan nilai seninya tinggi dan bermutu. P.Ramlee telah membuktikan karismanya dalam filem ini dengan penyampaian subtek yang mendalam dan berfalsafah tinggi. Jadi, tidak hairanlah P.Ramlee digelar seniman agung sepanjang zaman. Namun, karisma P.Ramlee akan hanya berada di kepalanya sahaja jika tanpa tenaga produksi yang membantu seperti Mustafa Yasin, A.Bakar Ali yang masing-masing bertindak sebagai Pengarah Seni dan Pengarah Fotografi yang merealisasikan visual yang ada di dalam kepala P.Ramlee ke atas skrin putih. Kecekapan dan kreativiti tiga individu ini membentuk hasil seni filem yang ‘tak lapok dek hujan, tak lekang dek panas’.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ayu tu SHIELA RUSLY ka... muka sama ja aku tgk..